Antara yang mencari jodoh di FB Kelab Cari Jodoh Malaysia.
Mohd Hanafis Abdul Haris


"SEMUA gambar disiarkan hanya untuk individu yang serius. Gambar pula mesti menutup aurat dan sopan," kata pengasas laman Facebook(FB) Kelab Cari Jodoh Malaysia berhubung kriteria individu yang mahu 'mengiklankan' diri mereka di laman terbabit.

Pengasasnya yang mahu dikenali sebagai Azhar, berkata, biarpun kewujudan laman terbabit pada awalnya hanya dibuat secara suka-suka, namun dia kini mengambil serius dan bersikap memilih bagi setiap gambar 'iklan' yang dimuat naik.

Menceritakan sejarah penubuhan laman berkenaan, Azhar berkata ia mula dibuka pada 28 Jun lalu bersama seorang lagi rakan karibnya.

Menurut Azhar, idea tercetus selepas melihat trend soalan 'bila mahu berkahwin' semakin hangat diperkatakan terutamanya ketika Hari Raya lalu.

"Ketika sambutan Hari Raya lalu, saya sering melihat beberapa saudara mara serta rakan karib diajukan soalan 'panas' itu. Malah melihat reaksi mereka yang terkedu-kedu menjawab soalan itu membuat saya terdetik untuk membantu mereka.

"Inilah masanya kita menggunakan sosial media ke arah yang lebih baik. Kenapa nak malu jika niat untuk menjadikan hubungan itu halal," katanya.

Menurutnya, sehingga kini laman terbabit menerima likes lebih 32,000 oleh pengguna FB serta dihujani lebih 100 permintaan mencari jodoh setiap hari.

"Malah jumlah tertinggi pernah kami terima sebanyak 500 permintaan sehari," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Azhar berkata, disebabkan permintaan yang terlalu tinggi, dia kini terpaksa menapis individu yang mahu mengiklankan diri mereka.

"Jika awalnya saya tidak begitu memilih, namun sekarang saya terpaksa berbuat demikian. Selalunya saya akan memberi keutamaan kepada individu berusia 30 tahun ke atas.

"Bukan saya memilih, namun adakalanya golongan muda ini saja mencari perhatian dan bukannya serius untuk mencari jodoh," katanya.

Menurutnya, apa yang dilakukan ini bukan secara serius dan niatnya hanya untuk menyediakan platform untuk pengguna FB mencari kenalan.

"Saya rasa kita tidak perlu malu untuk siarkan diri kita jika kita serius untuk mencari pasangan pilihan. Malah sepanjang tiga minggu mengendalikan laman FB ini, saya boleh berbangga kerana ada seorang daripada pengguna FB sudah pun menemui pasangan.

"Saya difahamkan mereka akan ditunangkan tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu pendakwah bebas, Ustaz Datuk Dr Izhar Ariff berkata, tiada masalah untuk mencari jodoh di media sosial selagi pentadbir akaun FB menjaga aib dan maruah individu yang meminta untuk disiarkan identitinya.

"Malah ia juga digalakkan sekiranya membawa kepada perkahwinan. Zaman kini semakin maju dengan pelbagai platform disediakan, cuma pengguna dan pentadbir FB perlu peka.

"Gambar dimuat naik harus sopan dan tidak mengaibkan mana-mana pihak," katanya yang juga Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 8:51 PM