Anggota bomba memadamkan kebakaran rumah di Kampung Sirako, Pulai, Baling, hari ini.
Safuri Kamarudin

RUMAH papan dua tingkat termasuk dua kereta dan dua motosikal musnah dalam kebakaran di Kampung Sirako, Pulai, Baling, di sini, hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Baling Samsari Ibrahim berkata, kejadian berlaku 6.20 petang dan pihaknya menerima panggilan 6.34 petang sebelum sepasukan anggota bersama jentera dihantar ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba anggota mendapati api sedang marak dan usaha memadamkan kebakaran dijalankan.

"Kita berjaya mengawal kebakaran daripada merebak 20 minit kemudian. Penghuni yang berada di dalam rumah terbabit sempat menyelamatkan diri ketika kejadian.

“Struktur rumah diperbuat daripada papan menyebabkan api marak dengan cepat hingga turut menyebabkan dua kereta dan dua motosikal Honda EX5 musnah,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati kemungkinan berlaku litar pintas, namun pihak bomba masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian dan nilai kerugian sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 9:25 PM