MAHDZIR ketika berucap merasmikan Konvensyen Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia.
Azma Razana Johari


Prai: Kementerian Pendidikan masih dalam peringkat perbincangan dan belum memutuskan sama ada akan menghentikan elaun pelajar pengajian Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) yang bermula Jun tahun hadapan.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keputusan itu akan diumumkan dalam tempoh sekurang-kurangnya dua bulan lagi.

“Perkara ini dalam peringkat perbincangan lagi dan pihak kita masih mengkaji. Keputusan mengenainya akan saya umumkan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia di Hotel Ixora, di sini, semalam.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya memaklumkan elaun pelajar pengajian PISMP di IPG akan dihentikan bermula Jun tahun depan.

Kementerian Pendidikan memaklumkan, bagaimanapun, yuran pengajian bagi program itu berjumlah RM27,831 akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun.

Menurutnya, bagaimanapun pelajar IPG sedia ada iaitu bagi ambilan sebelum Jun 2017 akan terus menerima elaun seperti diselaraskan mulai 1 Januari 2017 iaitu pada kadar RM430 sebulan, selain belanja tambang pergi-balik pada kadar maksimum RM500 untuk sekali dalam setahun sehingga tamat pengajian.

Turut difahamkan, IPG sudah berbincang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara untuk menyenaraikan IPG sebagai satu agensi penerima PTPTN bagi membolehkan pelajar IPG yang menyambung pengajian ke peringkat PISMP mulai Jun tahun depan menerima kemudahan pinjaman wang sara hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 5:36 AM