RAFIDAH
myMetro

Kuala Kubu Bharu: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan keluarga atau waris seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang masih belum memiliki dokumen pengenalan diri sehingga kini.

Remaja dikenali sebagai Rafidah itu ditemui berkeliaran di sekitar Bukit Beruntung sebelum dibawa orang awam ke balai polis berdekatan pada 4 September 2015 sebelum ditempatkan di beberapa pusat jagaan di bawah JKM.

Pegawai Pelindung JKM Daerah Hulu Selangor Mohd Nizam Azmi berkata, usia remaja perempuan terbabit semakin meningkat dewasa, namun masih tiada dokumen pengenalan diri selain tidak mengenali ibu bapanya.

“Malah, Rafidah tidak dapat memberi maklumat dirinya dengan tepat dan wujud percanggahan kerana daya ingatannya lemah. Dia memberitahu mahu mengesan warisnya yang dipercayai berada di Sabah,” katanya.

Katanya, remaja itu mendakwa melarikan diri dari rumah yang sebelum ini didiami bersama bapa kandung dan ibu tirinya di Bukit Beruntung.

“Justeru, saya meminta keluarga atau waris Rafidah tampil menghubungi JKM Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641430 bagi urusan dokumentasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 6:43 AM