KIA Rio generasi keempat. FOTO Razlan Salleh
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


PENGEDAR kenderaan jenama Kia, Naza Kia Malaysia melancarkan generasi keempat Kia Rio yang menawarkan keluasan, gaya dinamik dan premium.

Dijual pada harga RM79,888 tanpa insurans, model hatchback ini adalah antara model jualan global Kia terbaik selain pemenang iF Design Award 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza Corporation Holdings Sdn Bhd (Automotive Group), Datuk Samson Anand George berkata, All-New Kia Rio adalah model terbaik untuk pemanduan bandar setiap hari selain penjimatan bahan api yang efisien.

"All-New Kia Rio mendapat reaksi positif di seluruh dunia dengan rekaan lebih segar dan matang.

"Pengenalan model terbaru ini diharap dapat menarik perhatian pembeli terutama pemandu muda," katanya ketika pelancaran di Petaling Jaya, hari ini.

Hadir sama Ketua Syarikat Naza Kia Malaysia Nazman Yusof.

All-New Kia Rio dijana enjin 1.4L MPI DOHC bersama transmisi D-CVVT yang menawarkan kuasa 100PS dan 133Nm pada 4,000 rpm.

Selain bumbung suria,model ini turut dilengkapi enam beg udara, ABS, ESC dan HAC.

Empat warna ditawarkan antaranya putih, merah, biru dan perak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 11:58 AM