RAHIM (tengah) dijatuhi hukuman penjara selama setahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Klang. FOTO Roslin Mat Tahir
Iskandar Shah Mohamed


TUKANG rumah warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara selama setahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Klang, hari ini atas pertuduhan melarikan diri daripada lokap tahanan polis, bulan lalu.

Majistret Nor Asma Ahmad memutuskan demikian selepas tertuduh, Rahim Muhamad Pugawan, 23, mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan turut mengakui fakta kes dikemukakan pendakwaan.

Mengikut dua pertuduhan awal, duda yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) itu didakwa sengaja melarikan diri daripada tahanan polis di tandas pejabat Detektif dan Soal Siasat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, jam 3.30 petang, 19 Jun lalu .

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali yang mengendalikan kes memohon hukuman berat berikutan perbuatan tertuduh yang bukan saja meloloskan diri daripada tahanan malah berani cuba melakukan jenayah cabul.

"Selain itu, tertuduh didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Nor Asma kemudian turut menjatuhkan hukuman penjara tambahan selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Dalam pada itu, Mahkamah Sesyen Klang, turut menetapkan 3 Ogos depan bagi sebutan semula beberapa kes lain membabitkan Rahim termasuk kesalahan mencabul.

Harian Metro sebelum ini melaporkan tertuduh dipercayai merogol mangsa dan dua lagi rakannya memecah masuk rumah di Klang.

Menerusi operasi khas jenayah, mereka ditahan di Plaza Tol Grand Shapadu seminggu kemudian namun suspek melarikan diri melalui tandas IPD Klang Utara dengan keadaan tangan bergari.

Suspek berpura-pura kononnya mahu membuang air tetapi dia mengopak jeriji besi pada tingkap di tandas berkenaan.

Bagaimanapun, lelaki itu ditahan semula dalam tempoh kurang 24 jam ketika cuba mencabul kehormatan remaja perempuan berusia 14 tahun di Kampung Baru Hicom, Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 2:34 PM