Dari kiri, Muhamad Faisal, Muhammad Azizul, Mohamad Ibrohim dan Azlan yang didakwa terbabit dengan pemalsuan dokumen dan pemerasan. FOTO L Manimaran
Dari kiri, Muhamad Faisal, Muhammad Azizul, Mohamad Ibrohim dan Azlan yang didakwa terbabit dengan pemalsuan dokumen dan pemerasan. FOTO L Manimaran
Muhammad Apendy Issahak


EMPAT lelaki termasuk dua penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua kes berasingan membabitkan pemalsuan dokumen dan pemerasan.

Bagi kes pertama, Azlan Ibrahim, 44, Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Larut Matang dan Selama dituduh bersama seorang kontraktor, Mohamad Ibrohim Muhamed Shahudin, 36, pada Mei hingga Ogos 2015 memalsukan satu surat tawaran kerja berjumlah RM20,000 dengan niat ingin menipu JPS Larut Matang dan Selama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda.

Azlan dan Mohamad Ibrohim yang tidak diwakili peguam kemudian mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan.

Kes kedua membabitkan anggota polis Lans Koperal Muhamad Faisal Ahmad Ghafur, 32, dan pemandu lori, Muhammad Azizul Hakim Hasnan, 27, yang didakwa bersama-sama melakukan pemerasan dengan menunjukkan gari terhadap seorang lelaki serta mengugut ingin membawa mangsa ke balai polis pada 7 malam 20 Mac 2014 di Bandar Seri Iskandar.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebatan atau dengan mana-mana dari dua hukuman itu.

Muhamad Faisal diwakili Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, manakala Muhammad Azizul Hakim pula diwakili Khairul Anuar Musa dan kedua-duanya mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan.

Kedua-dua pertuduhan kes dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin di hadapan Hakim S Indra Nehru dengan Nurul Wahida meminta mahkamah mengenakan wang jaminan sebanyak RM15,000 terhadap keempat-empat tertuduh dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Indra Nehru kemudian mengenakan jaminan RM12,000 terhadap Azlan dan Mohamad Ibrohim serta 2 Ogos ini sebagai tarikh sebutan kes dan melantik peguambela.

Manakala Muhamad Faisal dan Muhammad Azizul Hakim pula dikenakan jaminan sebanyak RM13,000 setiap seorang dengan tarikh sebutan semula kes adalah pada 9 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 4:50 PM