Seramai 16 graduan OKU pendengaran dan bisu memperoleh Sijil Kemahiran Khas (Hotel dan Katering) Politeknik pada Majlis Konvokesyen ke 11 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


ENAM belas graduan Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dan bisu memperoleh Sijil Kemahiran Khas (Hotel dan Katering) Politeknik pada Majlis Konvokesyen ke-11 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis, hari ini.

Pensyarah Bahasa Isyarat, Mohd Fadil Ramli berkata, 16 graduan yang peroleh Sijil Kemahiran Khas Politeknik menunjukkan komitmen tinggi sepanjang pengajian mereka.

"Meskipun mereka dilahirkan dalam keadaan kekurangan, namun ia bukanlah penghalang kerana secara amalinya mereka memang berpotensi tinggi.

"Buktinya mereka mampu menghabiskan program yang diambil selama dua tahun dan kini sudah mempunyai pekerjaan yang sesuai dengan bidang mereka," katanya.

Seorang penuntut terbabit, Mohamad Rahmat Turman, 23, dari Sungai Korok, Jitra, Kedah, turut gembira apabila menerima sijil itu dan sudah mendapat pekerjaan di sebuah hotel di Alor Setar, Kedah.

Dia yang menunggang motosikal bersendirian sejauh 41 kilometer dari rumahnya ke Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Ulu Pauh, bagaimanapun sedikit terkilan kerana ibunya, Noraini Ahmad, 46, tidak dapat meraikan kejayaannya itu.

"Saya rasa sedikit terkilan ibu tidak dapat hadir kerana tidak dapat cuti dari majikannya di Jitra.

"Namun saya faham akan situasi itu dan gagahkan diri untuk hadir bagi menerima anugerah sijil khas ini," katanya menerusi bahasa isyarat.

Dia berkata, dia dibesarkan ibu bersendirian dan hidup serba sederhana membuatkan dirinya bertekad untuk mengubah nasib keluarga satu hari nanti.

"Ibu dan ayah bercerai sewaktu saya masih bayi dan ibu membesarkan saya dengan hasil pendapatan bekerja di sebuah kilang wayar di Jitra.

"Dengan gajinya yang sederhana itu, saya tekad ingin membalas budi ibu yang bertungkus lumus mendidik saya yang pekak dan bisu sejak lahir," katanya.

Mohamad Rahmat bersama 1,200 orang graduan lain menerima penganugerahan diploma dan sijil dalam bidang masing-masing yang disampaikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Turut berkenan menemani baginda, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Abdul Rashid berangkat ke Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin.

caption.

Mohamad Rahmat Turman

Seramai 16 graduan orang kurang upaya (OKU)pendengaran dan bisu memperoleh Sijil Kemahiran Khas (Hotel dan Katering) Politeknik pada Majlis Konvokesyen ke 11 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis, di sini hari ini.

#kw Graduan OKU, terima sijil

#loc 6.4297079999999998, 100.26984710000001

tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 6:49 PM