Mior Farid (dua dari kanan) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Siasatan Jenayah Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah. FOTO Amran Hamid
Muhaamad Hafis Nawawi

SEORANG lagi ahli kongsi gelap dari Kedah berusia 30-an diberkas polis hari ini menjadikan keseluruhan 17 orang dari negeri ini ditahan melalui Operasi Cantas Khas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al-Athrash Wahid berkata, lelaki terbabit yang bergiat aktif dalam kegiatan kongsi gelap di negeri ini ditahan polis di Kuala Lumpur awal pagi hari ini.

Menurutnya, penahanan terbaru itu menjadikan keseluruhan tangkapan seramai 17 orang berusia 20 hingga 40-an.

"Ketua geng kongsi gelap terbabit turut ditahan dalam operasi ini di sekitar Sungai Petani. Mereka ini ditahan kerana terbabit dalam kegiatan jenayah terancang membabitkan kongsi gelap hasil maklumat orang awam dan risikan polis,"

"Ketika serbuan, beberapa kenderaan milik ahli kumpulan kongsi gelap turut disita mengikut Akta Pengubahan Wang Haram,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan tiga pemimpin kanan geng kongsi gelap 04 diberkas polis selepas sekian lama terbabit pelbagai jenayah terancang.

Difahamkan mereka sebahagian daripada 62 ahli kumpulan kongsi gelap sama yang diberkas polis hasil serbuan besar-besaran Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, bermula awal pagi kelmarin.

Serbuan dilakukan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Bahagian Jenayah Berat (D9) menerusi Operasi Cantas Khas, hasil maklumat dan risikan terhadap kumpulan terbabit yang aktif dalam melakukan jenayah terancang.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar merakamkan penghargaan kepada JSJ berikutan kejayaan menahan 62 individu terbabit menerusi akaun twitter miliknya, semalam.

"Syabas JSJ @PDRMsia sejak 18/7 tangkap 62 ahli kongsi gelap di Selangor/Pulau Pinang/Kedan dalam Ops Cantas Khas. Operasi masih berjalan. #GoPDRMGo," katanya.

Terdahulu pada majlis itu, Mior Farid turut menyerahkan duit raya kepada anak-anak anggota polis kontinjen Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 11:46 PM