Najib melawat rumah PPR di Kampung Tekek Makmur ketika lawatan kerja ke Pulau Tioman, semalam.
Mohd Fauzi Abdullah


Tioman: Rahmat buat penduduk di Pulau Tioman, di sini, apabila menerima rumah teres setingkat dengan harga paling murah ditawarkan kerajaan iaitu hanya RM35,000.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, ia menjadi sejarah apabila pemilik kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tekek Makmur, di sini, menerima subsidi harga rumah paling tinggi pernah ditawarkan kerajaan iaitu 92 peratus daripada harga sebenar.

Katanya, pemilik hanya perlu membayar RM35,000 daripada kos sebenar bernilai RM403,000 bagi seunit rumah di PPR berkenaan.

“Kos keseluruhan pembinaan 116 unit rumah tiga bilik itu adalah RM47 juta dan siap sepenuhnya pada 2015.

“Ini satu sejarah, pemilik hanya bayar lapan peratus daripada harga asal, 92 peratus lagi ditanggung (subsidi) kerajaan,” katanya ketika merasmikan PPR Tekek Makmur, semalam.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar serta timbalannya Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Ahli Parlimen Rompin Datuk Seri Hasan Arifin.

Projek perumahan dengan keluasan tanah 3.28 hektar itu dibina pada 10 Julai 2012 dan siap sepenuhnya pada 21 Ogos 2015 turut mempunyai kemudahan bangunan kedai serta padang permainan.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, PPR berkenaan unik selain istimewa bagi penduduk pulau pelancongan itu untuk mendapat kehidupan lebih selesa dan berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 5:23 AM