Syed Ali (empat dari kanan) menunjukkan antara sumbangan yang dikumpul pelajar.
Siti Fatimah Nasir


Kuala Lumpur: “Ini sumbangan pertama yang saya terima sepanjang hidup kerana saya tidak pernah menerima apa-apa sumbangan seperti itu,” kata Sabariah Abdullah, 63.

Sabariah seorang daripada 100 penerima sumbangan Program Penyayang Raya 2017 anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Jalan Peel, di sini, semalam.

Sumbangan yang diberikan berbentuk barangan keperluan makanan harian seperti beras, hamper dan wang tunai.

Ibu tunggal kepada empat anak itu berkata, dia terharu apabila terpilih menerima sumbangan berkenaan yang dianggap terlalu bermakna.

“Sejak kematian suami, hidup saya susah kerana saya hanya tukang sapu sampah dan terpaksa menyara seorang anak yang masih tinggal bersama.

“Saya bersyukur kerana masih ada pihak sudi menghulurkan bantuan, sekali gus meringankan beban yang perlu ditanggung,” katanya.

Program itu disempurnakan Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang turut menyampaikan sumbangan.

Sementara itu, Pengetua SMK Convent Jalan Peel Faridah Abd Gani berkata, program terbabit merupakan acara tahunan yang dilaksanakan sekolahnya sejak 1992.

“Pada tahun ini, pihak sekolah menambah bilangan warga emas yang menerima sumbangan sebagai tanda keprihatinan kami kepada mereka.

“Bukan itu saja, pihak sekolah juga berjaya mengumpul 106 hamper, 167 beg sumbangan makanan dan 529 kampit beras untuk diagihkan kepada mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.

Menurutnya, selain sumbangan berbentuk makanan, pihaknya juga berjaya mengutip wang tunai sebanyak RM5,116 hasil sumbangan pelajar, Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan dermawan untuk diagihkan kepada pelajar dari latar belakang keluarga yang susah, warga emas dan rumah kebajikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 6:05 AM