Mohamed Apandi melancarkan Garis Panduan Penggunaan Senjata Api (Semasa Menjalankan Tugas) 2017 pada majlis Perhimpunan Suku Tahunan Jabatan Peguam Negara. Turut hadir, Peguam Cara Negara II, Datin Paduka Zauyah Be T Loth Khan di Dewan Tan Sri Abdul Kadir Yusuf Jabatan Peguam Negara. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Hayati Ibrahim


JABATAN Peguam Negara melancarkan Garis Panduan Penggunaan Senjata Api (Semasa Menjalankan Tugas) 2017 yang boleh digunapakai semua agensi penguatkuasaan di negara ini.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, ia adalah garis panduan lengkap berhubung tatacara penggunaan senjata api berdasarkan undang-undang, malah boleh dijadikan rujukan tambahan kepada garis panduan sedia ada.

"Ini kerana mungkin ada di antara agensi penguat kuasa yang belum mempunyai garis panduan lengkap berhubung pengendalian senjata, kalau ada pun mungkin untuk menyimpan senjata api saja dan tiada tatacara bagaimana dan bila ia boleh digunakan.

"Jadi ini adalah garis panduan yang boleh dijadikan rujukan (tambahan) untuk mereka dalam keadaan apa senjata api boleh digunakan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Suku Tahunan Jabatan Peguam Negara Pelancaran Jabatan Peguam Negara ke arah Pensijilan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) 2017 dan Pelancaran Garis Panduan Penggunaan Senjata Api (Semasa Menjalankan Tugas) 2017 di Putrajaya, hari ini.

Mohamed Apandi berkata, jika senjata api digunakan tanpa pertimbangan sewajarnya, mereka yang berkenaan boleh didakwa walaupun mempunyai lesen untuk mengendalikan senjata api.

Beliau berkata, penyediaan garis panduan itu tercetus selepas insiden menimpa seorang pegawai kanan wanita Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang terbunuh selepas kenderaan dinaikinya bersama dua rakan lain dirempuh tonto di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas, Kelantan, tahun lalu.

"Selepas kejadian itu, terdetik di hati saya ia berlaku kerana kurangnya pendedahan dan pengetahuan mengenai prosedur penggunaan senjata api dalam kalangan anggota penguat kuasa ketika menjalankan tugas.

"Disebabkan itu, pada Disember tahun lalu saya mengarahkan Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi mengkaji semula tatacara penggunaan senjata api sedia ada.

"Hasilnya kita berjaya sediakan garis panduan ini dan ia boleh mengelakkan pelbagai perkara daripada

terjadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 5:20 PM