Badlisham (kanan) menyampaikan hadiah penumpang ke-573 juta keseluruhan kepada Wardah Taaha (dua, kiri) dari Pakistan sambil diperhatikan Zainol (kiri). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Nursyahirah Marzuki


MALAYSIA Airport Holdings Bhd (MAHB) bercadang menambah perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengelak kesesakan yang sering berlaku.

Pengarah Urusannya Datuk Badlisham Ghazali berkata, pihaknya sedang mengkaji dengan teliti mengenai kesesakan aerotrain yang menghubungkan terminal utama dan bangunan satelit itu di lapangan terbang itu.

"Kadangkala penumpang membuat anggapan tren tidak berfungsi, dan hanya berada di stesen kerana rosak, namun sebenarnya tren berkenaan sedang dalam penyelenggaraan.

"Antara 10 pagi hingga 12 tengah hari adalah waktu tren menjalani proses penyelenggaraan harian mengikut jadual yang ditetapkan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis Sambutan Ulang tahun KLIA ke-19 di KLIA, Sepang, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Kanan MAHB Zainol Mohd Isa.

Menurutnya, kerja penyelenggaraan aerotrain itu dilakukan dalam tempoh dua jam setiap hari kerana ia bukan waktu puncak bagi pergerakan penumpang.

"Bagaimanapun, kita juga menyediakan perkhidmatan bas dari terminal utama untuk membolehkan penumpang bergerak ke bangunan satelit yang menempatkan balai pelepasan antarabangsa.

"Ketika ini kita sudah menyediakan lebih 10 bas untuk membawa penumpang ke bangunan satelit dan jumlah itu mencukupi untuk penumpang sedia ada, namun mempunyai perancangan untuk menambah jumlah tren," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 8:00 PM