Keadaan kereta Perodua Viva dan Perodua Myvi yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya BKE berhampiran R&R Tawar.
Safuri Kamarudin

Baling: Dua pemandu kereta cedera selepas kenderaan dipandu mereka terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE)-Gerik berdekatan Rehat dan Rawat Tawar (R&R) semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, pemandu kereta Perodua Viva, Muhamad Alamin Abd Rahim, 18, dari Kampung Banggol Wan Mat B, tersepit kaki dan cedera di kepala.

Manakala, pemandu kereta Perodua Myvi, Sharizat Shafie, 30-an, dari Kampung Baru, Merbau Pulas cedera di kepala dan tangan sebelum mereka dikejarkan ke Hospital Baling (HB).

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Samsari Ibrahim, berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.50 pagi dan bergegas bersama enam anggota ke lokasi serta tiba 12 minit kemudian.

Beliau berkata, sampai di tempat kejadian pemandu Perodua Viva tersepit kaki dan anggota bomba menggunakan alatan Haidfolic untuk memotong besi dan mengambil masa 15 minit menyelamatkan mangsa.

“Bomba mengambil masa 15 minit mengeluarkan mangsa tersepit dan menyerahkan kepada ambulans HB untuk rawatan awal,” katanya.

Samsari berkata, kereta yang dipandu Muhamad Alamin dari arah Kulim ke Baling manakala Sharizat yang memandu kereta Perodua Myvi dari Baling ke Kulim sebelum terbabit dalam kemalangan di Tawar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof mengesahkan kejadian itu dan akan menjalankan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2017 @ 6:13 AM