JENAZAH bekas Pengerusi Kumpulan Telekom Malaysia, Allahyarham Tan Sri Muhammad Radzi Mansor disembahyangkan dan diimamkan anak lelakinya, Ahmad Hakimi Muhammad Radzi di Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara. FOTO Eizairi Shamsuddin
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


JENAZAH bekas Pengerusi Telekom Malaysia Bhd (TM) Allahyarham Tan Sri Muhammad Radzi Mansor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini.

Solat jenazah diimamkan anaknya, Ahmad Hakimi, 44, di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, selepas solat Zuhur.

Turut hadir menziarahi jenazah ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Tun Jeanne Abdullah.

Allahyarham, 76, yang menghidapi kanser paru-paru sejak 2013 meninggal dunia di Hospital Pantai Kuala Lumpur, pada 9.30 malam tadi.

Arwah dimasukkan ke hospital itu, Rabu lalu, selepas mengadu sesak nafas.

Beliau meninggalkan isteri, Puan Sri Aizah Mahmud, 74, serta dua anak Siti Khairani, 47, dan Ahmad Hakimi, selain enam cucu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2017 @ 5:26 PM