DAGING didakwa babi.
DAGING didakwa babi.
Nurul Hidayah Bahaudin


Semenyih: Selepas lebih sebulan menanti keputusan, Jabatan Kimia akhirnya mengesahkan daging misteri yang dijual di kedai runcit di Taman Semenyih Impian, di sini, adalah daging lembu.

Keputusan itu dimaklumkan Jabatan Kimia kepada penduduk taman terbabit yang juga pengadu, Hisham Johar, 48, melalui panggilan telefon pada awal Julai lalu.

Setiausaha Surau Ar-Rayyan di taman itu, Ishak Saad, 51, berkata, pihaknya dimaklumkan Hisham berhubung perkara itu selepas menerima maklumat.

“Kami dimaklumkan Hisham bahawa keputusan ujian makmal yang dibuat terhadap sampel daging itu oleh Jabatan Kimia sudah diper oleh. Mereka mengesahkan ia adalah daging lembu.

“Sebaik menerima keputusan berkenaan, kami masih ragu dengan keputusan itu kerana alasan yang diberikan pekerja kedai runcit terbabit mendakwa ia daging anak lembu,” katanya.

Ishak berkata, walaupun tidak berpuas hati, pihaknya tidak bercadang meminta ujian makmal kali kedua dilakukan.

“Bagaimanapun, kami nekad mengambil tindakan boikot terhadap kedai runcit itu kerana tidak puas hati terhadap alasan diberikan,” katanya.

Pada 12 Jun lalu, Harian Metro melaporkan aduan penduduk di Taman Semenyih Impian, di sini, mengesyaki daging lembu dijual di kedai runcit dimiliki warga Indonesia daging babi.

Susulan itu, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melakukan siasatan sebelum merampas daging itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 6:40 AM