Penunggang motosikal bersama motosikalnya terseret dalam kemalangan di Bulatan Jalan Damai, Tawau. FOTO Nasrawati Syarifuddin
Nasrawati Syarifuddin


AKIBAT menunggang motosikal melawan arus, pembonceng maut manakala penunggang parah apabila dirempuh sebuah pacuan empat roda dari arah bertentangan di Simpang Bulatan Jalan Damai, Tawau, hari ini.

Dalam kejadian 4.18 pagi itu, pembonceng berusia 20 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tawau dan penunggang berusia 24 tahun parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tawau.

Pemandu pacuan empat roda Toyota Hilux berusia 66 tahun dan penumpangnya berusia 21 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian penunggang motosikal yang melawan arus lalu bertembung dengan Toyota Hilux dari arah bertentangan.

"Pembonceng yang parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital manakala penunggang juga parah dan kini dirawat di ICU Hospital Tawau," katanya ketika dihubungi.

Fadil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 12:06 PM