Mohd Shahril menerima anugerah peserta terbaik daripada Vidyananthan sempena Majlis Pelancaran Azam Kerja Muafakat Johor 2017 di Taman Sri Lambak, Johor Bahru, hari ini. - Foto ADNAN IBRAHIM
Mohd Shahril menerima anugerah peserta terbaik daripada Vidyananthan sempena Majlis Pelancaran Azam Kerja Muafakat Johor 2017 di Taman Sri Lambak, Johor Bahru, hari ini. - Foto ADNAN IBRAHIM
Mohamad Fahd Rahmat

SEORANG lelaki kurang upaya membuktikan kecacatan diri bukan penghalang untuk berjaya dalam perniagaan apabila dianugerahkan peserta terbaik penerima bantuan Azam Kerja Muafakat Johor 2016.

Mohd Shahril Daud, 40, mula serius menceburi bidang perniagaan kek batik selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 2006, mengakibatkan kaki kirinya terpaksa dipotong hingga paras lutut.

Menerusi jenama Airil Kek Batik, produknya itu kini dipasarkan di kedai kek, kantin dan koperasi sekolah sekitar Johor Bahru.

"Saya terpilih sebagai seorang daripada 669 peserta Program Azam Kerja Muafakat Johor 2016 dan bersyukur apabila menerima anugerah peserta terbaik program ini.

"Saya menerima bantuan peti sejuk daripada kerajaan negeri, membolehkan saya menerima lebih banyak pesanan pelanggan.

"Purata pendapatan saya sehingga RM10,000 sebulan dan pernah merekodkan jualan RM16,000 pada Februari tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Azam Kerja Muafakat Johor 2017 di Rumah Komuniti Parlimen Sembrong Taman Sri Lambak di Johor Bahru.

Anugerah berkenaan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Negeri Johor R Vidyananthan.

Vidyananthan berkata, RM1 juta diperuntukkan kerajaan negeri menerusi Program Azam Kerja Muafakat Johor 2017.

Beliau berkata, kumpulan B40 menjadi sasaran dengan memberikan mereka bantuan menerusi Program Jana Pendapatan, Program Pembangunan Peserta 2015 dan 2016, Program Bekerja dari Rumah, Kursus Pendek Kemahiran, Azam Kerja @ Industri dan Projek Kelompok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 6:35 PM