Flash mob kempen Tabung Pahlawan di pintu utama Pusat Beli-Belah Pavilion, Bukit Bintang, semalam.
Nadzreen Shah Mat Salim

Kuala Lumpur: Guna kaedah unik tarian flash mob bagi menarik perhatian orang ramai, sekali gus menyumbang kepada Kempen Tabung Pahlawan 2017.

Itu antara usaha dilakukan 85 sukarelawan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melakukan tarian flash mob sempena Kempen Tabung Pahlawan 2017 di Pintu Utama, Pusat Beli-Belah Pavilion, di sini, semalam.

Persembahan tarian memukau itu yang turut diiringi pancaragam menarik perhatian ramai termasuk pelancong asing.

Ketua Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan Adreena Abdul Majid berkata, kempen ini diadakan setiap tahun dan tarian flash mob sengaja diadakan bagi memberi kelainan pada tahun ini selain membuktikan sokongan orang ramai dalam membantu pengutipan tabung pahlawan.

“Ini flash mob kali ketiga diadakan pada tahun ini. Sebelum ini kami mengadakan flash mob di Pasar Seni dan Stesen LRT Masjid Jamek.

“Aktiviti ini meliputi muzik, tarian dan nyanyian membabitkan penyertaan sukarelawan MINDEF dan ATM,” katanya.

Menurutnya, kempen ini diadakan pada 31 Julai setiap tahun namun tahun ini diadakan lebih awal pada Mei sehingga Disember 2017.

“Kempen ini diadakan lebih awal supaya sasaran kutipan RM5 juta dicapai.

“Matlamatnya untuk membantu kebajikan anggota tentera selain menghargai jasa dan pengorbanan mereka berjuang mempertahankan kedaulatan negara. Tabung ini diuruskan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM),” katanya.

Menurutnya, sumbangan orang ramai boleh disalurkan kepada PVATM melalui MAYBANK (nombor akaun: 564717521826) atau CIMB BANK (nombor akaun: 8602700401).

Sementara itu, selebriti Mehrzad Yasmin Malik Abd Malik atau lebih dikenali sebagai Min Malik turut menyertai tarian flash mob sempena Kempen Tabung Pahlawan 2017.

Menurutnya, itu satu cara untuk mengetengahkan kempen ini kepada golongan muda dan orang ramai.

“Masih ramai tidak tahu mengenai tabung pahlawan dan dengan adanya flash mob ia mendekatkan golongan muda dengan kempen ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 11:34 AM