Moh Samsudin (kanan) menerima surat perjanjian ikrar daripada Din di Dewan Terbuka IPK Kelantan. FOTO Fathil Asri
Moh Samsudin (kanan) menerima surat perjanjian ikrar daripada Din di Dewan Terbuka IPK Kelantan. FOTO Fathil Asri
Rosliza Mohamed


POLIS Kelantan bebas rasuah dalam tempoh dua tahun ini apabila tiada kes yang dilaporkan dan terus akan disifarkan untuk tahun akan datang.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, berdasarkan laporan bagi tempoh dua tahun kebelakangan ini, tiada pegawai dan anggota polis terbabit dengan rasuah.

"Jadi kita harap rasuah membabitkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri ini sifar.

"Mengikut rekod, pada 2015 hanya lima kes rasuah membabitkan pegawai dan anggota dilaporkan," katanya di sidang media selepas majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah PDRM di Dewan Terbuka Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 500 pegawai dan anggota membaca ikrar dengan slogan 'Tok Se (tidak mahu) Rasuah, Lapor Rasuah'.

Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan Datuk Moh Samsudin Yusoff.

Din berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terbabit dengan rasuah.

"Kita mengingatkan semua pegawai dan anggota supaya jangan saja berikrar, tetapi membanteras terus jenayah rasuah," katanya.

Sementara itu, Moh Samsudin berkata, SPRM bercadang memberi ganjaran setimpal kepada jabatan yang melapor paling banyak kes rasuah bermula tahun ini.

Katanya, setakat ini perjumpaan dengan ketua jabatan diadakan berkaitan isu rasuah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 12:24 PM