THAN (tengah) mengaku bersalah mencuri hasil kayu gaharu Hutan Simpan Bintang Hijau, Hulu Perak tanpa kebenaran.
THAN (tengah) mengaku bersalah mencuri hasil kayu gaharu Hutan Simpan Bintang Hijau, Hulu Perak tanpa kebenaran.
myMetro

Kuala Kangsar: Seorang lelaki warga Kemboja dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas mengaku bersalah menceroboh hutan simpan dan mencuri gaharu bernilai RM2,260 di Hulu Perak bulan lalu.

Than Naek, 30, didakwa melakukan kesalahan itu di Hutan Simpan Bintang Hijau, Hulu Perak pada 15 Jun lalu kerana menduduki dan menjalankan aktiviti di tanah Hutan Simpan Kekal berkenaan tanpa permit yang dibenarkan dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

Tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 32(1), Akta Perhutanan Negara 1984 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Negeri Perak, S Punitha di hadapan Hakim, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Than Naek dalam rayuannya melalui jurubahasa memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman yang ringan kerana mendakwa tidak mengetahui perbuatan yang dilakukannya itu adalah salah.

Pihak pendakwaan kemudian memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum kerana kesalahan itu serius dan membabitkan kehilangan hasil perhutanan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 6:39 AM