X
NORASHIKIN (tengah) diiringi Naib Canselor UMS, Prof Dr D Kamaruddin D Mudin melawat gerai jualan yang ditawarkan percuma kepada peniaga.
NORASHIKIN (tengah) diiringi Naib Canselor UMS, Prof Dr D Kamaruddin D Mudin melawat gerai jualan yang ditawarkan percuma kepada peniaga.
DARI kiri, Dg Sahzanah, Nur Zawani dan Nurshafiqa menunjukkan surat tawaran kerja yang diterima.
DARI kiri, Dg Sahzanah, Nur Zawani dan Nurshafiqa menunjukkan surat tawaran kerja yang diterima.
LEBIH 20,000 orang menyertai SL1M selama dua hari yang berlangsung di Dewan Canselor, UMS.
LEBIH 20,000 orang menyertai SL1M selama dua hari yang berlangsung di Dewan Canselor, UMS.
KUMPULAN Zero dan Firman AF antara selebriti yang membuat persembahan pada hari kedua Program Temuduga Terbuka SL1M di UMS, Kota Kinabalu.
KUMPULAN Zero dan Firman AF antara selebriti yang membuat persembahan pada hari kedua Program Temuduga Terbuka SL1M di UMS, Kota Kinabalu.
Amniera Naziera Amran


Kota Kinabalu: Rezeki ternyata memihak kepada tiga sekawan apabila menerima surat tawaran secara terus ketika menghadiri Program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), dekat sini, baru-baru ini.

Dg Sahzanah Ag Damit, 25, berkata, dia tidak menyangka usahanya bersama dua lagi rakannya datang awal pada program berkenaan membuahkan hasil apabila mereka ditawarkan program di bawah SL1M yang bakal bermula awal bulan depan.

Menurut anak bongsu daripada 11 beradik yang berasal dari Bongawan ini, dia memperoleh Ijazah Sarjana Muda Antropologi dan Sosiologi Sosial dari UMS pada tahun lalu dan sudah menyasarkan untuk menyertai SL1M kali ini.

“Sebelum ini, saya melakukan pelbagai kerja sambilan termasuk membantu ibu berniaga secara kecil-kecilan di kampung dan menganggap program yang dianjurkan oleh SL1M adalah peluang keemasan yang tidak akan dilepaskan.

“Saya mendapati SL1M platform terbaik untuk mencuba mendapatkan pekerjaan di samping memperoleh pendedahan awal dalam pelbagai lapangan kerjaya,” katanya ditemui pada Program Temuduga Terbuka SL1M Peringkat Negeri Sabah di UMS, dekat sini.

Menurutnya, SL1M bukan sekadar platform mencari pekerjaan, tetapi turut menyediakan skim latihan kepada lepasan graduan sepertinya sebelum memasuki alam pekerjaan.

“Saya tidak menyangka kehadiran selama dua hari ke program ini membuahkan hasil. SL1M amat bermanfaat kerana banyak potensi diri dapat diketengahkan apabila menyertai pelbagai program yang diadakan sepanjang SL1M kali ini,” katanya.

Sementara itu, rakannya yang turut berasal dari Bongawan, Nur Zawani Abdullah, 25, berkata, SL1M sangat membantu mereka khususnya bagi pencari kerja dari luar bandar mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Graduan UMS ini berkata, program SL1M memberikannya gambaran lebih luas mengenai prospek pekerjaan yang boleh disertainya kerana dia langsung tidak mempunyai pengalaman bekerja sebelum ini.

Katanya, pengisian program itu amat bermanfaat untuk mana-mana individu dalam mempersiapkan diri sebelum menceburi alam pekerjaan.

“Saya tinggal di luar bandar dan perlu bersaing dengan mereka yang berasal dari bandar. Saya perlu keluar dari kepompong bagi mengubah nasib keluarga memandangkan saya bukan berasal daripada keluarga yang senang.

“Saya juga mahu bersikap terbuka dan tidak hanya menumpukan bidang yang hanya menjurus kepada pengajian saya kerana ingin mencuba pekerjaan lain yang sesuai dan mampu menjamin masa depan,” katanya.

Rakannya, Nurshafiqa Abdul Kadir, 25, yang juga graduan UMS dalam bidang hubungan industri berkata, penganjuran SL1M di Sabah amat baik kerana turut mendedahkan masyarakat berkaitan peluang pekerjaan bukan sahaja syarikat tempatan, malah syarikat gergasi dan terkemuka di seluruh negara.

“Saya tidak menyangka Malaysia Airports Holdings Berhad menawarkan peluang yang besar buat kami kerana pada mulanya kami hanya mencuba nasib dan tidak sangka terus diberikan surat tawaran secara terus selepas sesi temu duga itu,” katanya.

Menurutnya, mereka akan memanfaatkan peluang yang sudah diberikan SL1M kerana ia bukan peluang yang mudah untuk didapati di mana- mana dan ia adalah pengalaman manis buat mereka.

Sementara itu, kira-kira 20,000 pengunjung menghadiri Program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) peringkat negeri Sabah di Dewan Canselor, UMS pada Sabtu dan Ahad lalu.

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, berkata, pada awalnya, pihaknya menyasarkan 10,000 pengunjung namun jumlah keseluruhan yang hadir di luar jangkaan apabila melebihi sasaran berkenaan.

“Kita menerima kira-kira 20,000 pengunjung dan ini selari dengan peluang pekerjaan yang ditawarkan sepanjang program iaitu 15,000 kekosongan hampir 50 syarikat dari seluruh negara.

“Kami amat berpuas hati dengan pertambahan jumlah pengunjung pada acara di Sabah yang menjadi lokasi kelima program SL1M pada tahun ini.

“Selepas ini, acara sama bakal berlangsung di dua lagi lokasi termasuk Melaka dan Perak masing-masing pada Ogos dan September depan,” katanya.

Dalam pada itu, Norashikin berkata, kerjasama SL1M bersama UMS bagi penganjuran program kali ini memberikan banyak manfaat khususnya kepada graduan universiti awam dan penduduk Sabah.

“Perkara itu kerana graduan turut didedahkan mengenai SL1M serta mendapat maklumat berhubung peluang kerjaya yang ada di pasaran pada masa kini,” katanya.

Norashikin berkata, pihaknya dimaklumkan daripada syarikat yang terbabit dalam program kali ini bahawa mereka sudah memberikan surat tawaran secara terus kepada graduan dan pencari kerja yang memenuhi kriteria yang diperlukan.

“Kami juga mempertimbangkan permintaan sesetengah syarikat yang terbabit dalam program ini supaya memanjangkan tempoh program daripada dua hari kepada tiga atau empat hari kerana kesuntukan masa untuk membuat pemilihan calon dalam sesi temu duga,” katanya.

Hampir 50 syarikat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta dari seluruh negara menyertai Program Temuduga Terbuka SL1M peringkat Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 6:46 AM