TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan memiliki wang palsu. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


DUA lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan memiliki wang palsu, dua minggu lalu.

Pesara kerajaan, Mohd Nasir Aman, 59, dan peniaga, Chan Hui Boo, 70, membuat pengakuan terbabit sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim G Ramesh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama memiliki 1,679 keping wang kertas palsu dengan niat hendak menggunakannya sebagai tulen di belakang sebuah hotel di Jalan Sheikh Ahmad, Seremban, pada jam 7.50 malam, 10 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan.

Mahkamah membenarkan mereka diikat jamin RM6,000 setiap seorang dan menetapkan 22 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 3:02 PM