Hasanuddin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam operasi bersepadu di sekitar Kota Bharu, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


POLIS menahan seramai 124 penagih dadah dalam operasi bersepadu selama 10 jam, di sekitar Kota Bharu, hari ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, dalam operasi dari 10 malam hingga 8 pagi, hari ini, pil kuda, heroin, syabu, daun ketum, ganja, pil psikotropik dan erimin 5 bernilai RM15,500 dirampas.

Katanya, suspek yang ditahan berusia antara 17 hingga 55 tahun iaitu mereka yang bekerja sebagai peniaga, buruh dan penganggur.

"Operasi dijalankan di 93 sasaran di lapan lokasi panas di sekitar Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Melor, Kubang Kerian, Kok Lanas, Badang, Binjai dan Salor.

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Katanya, operasi berkenaan disertai oleh 11 pegawai dan 74 anggota dari polis Kelantan serta Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Khas Narkotik Bukit Aman dan enam pegawai dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat bagi membanteras penagihan dadah di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 5:46 PM