ROHANI Abdul Karim
Mohd Nasif Badruddin


Kuala Lumpur: Suami koma seminggu akibat dibelasah isteri yang memiliki tali pinggang hitam taekwondo antara kes keganasan rumah tangga diterima Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membabitkan lelaki sebagai mangsa.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kes keganasan rumah tangga yang merekodkan 26 peratus mangsa lelaki daripada 15,617 kes sejak 2014 hingga tahun lalu menunjukkan gejala itu serius, namun pihaknya sukar bertindak kerana ada pengadu enggan dikenali dan memberikan maklumat lanjut.

Menurutnya, antara kes lain yang dilaporkan ialah isteri mencederakan suami dengan asid dan cuka getah, mencederakan menggunakan objek selain ada mangsa lelaki yang dikurung serta didera secara emosi.

“Mangsa lelaki ini termasuk suami, bekas suami, bapa dan saudara serta terdiri daripada pelbagai kategori seperti kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU),” katanya ketika menggulung perbahasan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Menurutnya, sebanyak 131 kes yang dilaporkan memerlukan intervensi daripada 2,784 kes diterima sejak 2013 hingga tahun lalu.

Sementara itu, ketika menjawab pencelahan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) yang bertanyakan mengenai kes isteri mencederakan kemaluan suami termasuk memotongnya, Rohani mengakui ada berlaku kes sebegitu seperti dilaporkan media dan pihak berkuasa lain, namun ia tidak dilaporkan kepada agensi di bawahnya.

Katanya, perlindungan untuk kes keganasan rumah tangga terpakai kepada suami dan isteri selain boleh menggunakan undang-undang sedia ada seperti Seksyen 323 dan 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 5:32 AM