KERANGKA besi dipasang pada kepala Muhammad Afiq untuk membantu menyokong proses tumbesaran kepala.
MUHAMMAD Afiq sebaik jalani pembedahan untuk memasang kerangka besi.
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Sudah tiada air mata untuk menangisi dan tidak ada kata-kata yang mampu diluahkan ibu kepada tiga anak selepas anak bongsunya disahkan mengalami sindrom Pfeiffer.

Akibat sindrom itu, Muhammad Afiq Mohd Azwan, 2, yang juga anak tunggal lelaki daripada tiga beradik mempunyai masalah struktur tulang tengkorak dan muka yang sempit.

Pfeiffer yang dikategorikan sebagai penyakit jarang dijumpai dan lazimnya dipengaruhi faktor genetik menyebabkan tengkorak kanak-kanak menjadi tidak normal dengan mengalami kecacatan pada muka serta tengkorak hingga matanya sedikit terkeluar berbanding bayi normal.

Apa yang mampu dilakukan Norihanum Mat Nasir, 36, dan suami, Mohd Azwan Md Rasir, 39, ketika ini adalah berdoa agar diberi kekuatan untuk terus berusaha bagi memastikan anaknya dapat hidup normal seperti kanak-kanak seusianya.

Menurut Norihanum, hati ibu mana yang mampu menahan sebak apabila melihat anak sekecil itu menanggung kesakitan, tetapi dia dan suami perlu kuat serta hanya mampu berdoa agar segala urusannya dipermudahkan.

Katanya, anak bongsunya itu sudah menjalani beberapa pembedahan sejak berusia dua bulan dengan pembedahan terbaru pada 21 Jun lalu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) membabitkan kos RM70,000.

“Pembedahan itu untuk membuka ruang struktur tulang bagi menyelamatkan bahagian otak dan mata, di samping membuka saluran pernafasannya.

“Selepas pembedahan itu, dia perlu memakai kerangka di kepalanya selama sebulan dan sebagai ibu tidak ada kata mampu diluahkan melihat kesakitan yang perlu ditanggung anak saya ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Kota Tualang, Manir.

Norihanum yang bekerja sebagai jururawat berkata, walaupun Muhammad Afiq tidak seperti kanak-kanak lain, dia seorang anak yang aktif dan mudah dijaga malah semakin aktif serta menunjukkan perkembangan positif selepas pembedahan itu.

“Kami diuji dengan keadaan Muhammad Afiq, tetapi dia seolah-olah tahu keadaannya dan tidak menyusahkan kami.

“Walaupun dia masih kecil, dia anak yang kuat dan tabah. Bayangkan dalam tempoh sebulan dia memakai kerangka itu, dia tidak banyak meragam dan seolah-olah faham kenapa dia perlu memakai kerangka itu sehinggakan saya dan keluarga yang sebak. Ada masanya kami sendiri bimbang melihat keadaannya,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Pasukan Kraniofasial PPUM Prof Madya Dr Firdaus Hariri berkata, Muhammad Afiq yang lahir dengan sindrom itu mempunyai masalah struktur tulang.

Dr Firdaus berkata, Muhammad Afiq akan menjalani satu lagi pembedahan esok untuk membuka kerangka terbabit, manakala peralatan lain yang ada pada tulang Muhammad Afiq akan dibuka dalam tempoh tiga bulan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 6:45 AM