Nabihah Kamal

Cyberjaya: Daripada kain hingga ke rambut palsu, semua dihasilkan sendiri demi mendapatkan kostum yang sama seperti karakter asal kartun animasi atau anime Jepun.

Itu dilakukan Marina Shukry, 30, atau lebih mesra disapa Version yang memilih Cosplay (permainan kostum) sebagai hobi.

Graduan Sarjana Seni Bina Universiti Limkokwing berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, dia meminati anime sejak di tingkatan empat.

“Saya menonton cerita Jepun dan minat dengan budayanya kerana setiap corak atau bentuk pakaian serta aksesori seperti pedang yang digunakan mempunyai makna tersendiri. Selepas itu, saya terlihat pakaian seorang pereka Cosplay sebelum menghantar e-mel kepadanya bertanya bagaimana dia menghasilkan kostum.

“Saya diberitahu, dia buat sendiri dan bermula dari situ saya mula belajar menghasilkan kostum,” katanya.

Menurutnya, pakaian, aksesori dan hiasan rambut untuk watak animasi juga dihasilkan sendiri demi kepuasan diri.

“Saya mahu beli namun ia tidak sama dengan seni budaya barangan asal. Oleh itu, saya pelajari sendiri untuk buat replika seperti pedang dan perisai watak animasi itu,” katanya.

Menurutnya, dia mula belajar menjahit sejak usianya 16 tahun untuk hasilkan kostum.

“Saya pilih kain yang mempunyai corak unik termasuk menggunakan kain langsir kerana materialnya berat dan cantik.

“Selain itu, apabila saya ada kesempatan ke luar negara, saya akan beli barangan menjahit Cosplay seperti manik dan rambut palsu,” katanya.

Marina berkata, hobi Cosplay bukan sekadar menghasilkan kostum kerana dia juga perlu mendalami watak animasi yang dipilih untuk sertai pertandingan Cosplay.

“Cara orang Jepun pegang pedang berbeza, jika teknik saya salah, markah yang diberikan oleh pihak juri di pertandingan Cosplay kurang.

“Sebagai persiapan, saya akan teliti cara sesuatu watak animasi Jepun yang saya pilih itu beraksi termasuk cara duduk dan gerakan tangan,” katanya yang pernah memenangi tempat pertama dalam pertandingan antarabangsa di China International Cartoon & Animation Festival pada 2015 serta pertandingan Animax pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 7:04 AM
MARINA menunjukkan gambar baju Cosplay Seth Nightlord dari siri anime Trinity Blood.
MARINA menunjukkan gambar baju Cosplay Seth Nightlord dari siri anime Trinity Blood.