Kebakaran membabitkan tiga kediaman di Taman Mergong Jaya. FOTO ihsan bomba
Zuliaty Zulkiffli


TIGA rumah teres satu tingkat di Taman Mergong Jaya, Alor Setar, terbakar dengan satu daripadanya musnah hari ini.

Kejadian berlaku sekitar 8.30 pagi dan api berjaya dikawal daripada merebak oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.45 pagi dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikerah ke lokasi.

Beliau berkata, sebuah jentera, lori tangki dari BBP Alor Setar dan jentera dari BBP Jalan Raja, Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) serta unit motosikal digunakan dalam operasi itu.

"Dua daripada tiga rumah itu terbakar antara lima hingga 10 peratus manakala sebuah lagi 80 peratus terbakar," katanya.

Mohamad Mustakim berkata, api berjaya dikawal pada 9.07 pagi.

"Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran ini. Punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 2:48 PM