PEMBANTU Tadbir Plan Malaysia @ Kelantan, Siti Nur Fairuz Mohd Zahari, 33, menunjukkan buku Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040. FOTO Fathil Asri
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


KERAJAAN negeri berharap orang ramai menyertai kajian semula Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya memohon rakyat supaya memberi pendapat dan pandangan masing-masing berhubung pembangunan Kelantan.

Katanya, kajian berkenaan dijalankan selama sebulan bermula semalam sehingga 24 Ogos depan.

"Kita akan meletakkan borang kajian di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memudahkan orang ramai mengisi bagi memberi pendapat serta pandangan masing-masing.

"Kajian ini dibuat untuk projek berskala besar termasuk menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa; Pelabuhan Tok Bali; Lebuhraya Pantai Timur Tiga; Lebuhraya Utama Tengah; Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL); Empangan Hidro Elektrik Nenggiri dan Lebir serta Projek Tebatan Banjir Sungai Golok," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui di Majlis Perasmian Publisiti dan Penyertaan Awam Drag Laporan Pemeriksaan Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040, di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Ahmad berkata, pandangan umum itu penting untuk penambahbaikan projek pembangunan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 9:31 PM