Antara warga asing yang diperiksa di Pasar Besar Klang, hari ini. FOTO ihsan Jabatan Imigresen Selangor
Antara warga asing yang diperiksa di Pasar Besar Klang, hari ini. FOTO ihsan Jabatan Imigresen Selangor
Siraj Mohd Zaini

SERAMAI 25 lelaki dan empat wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Imigresen Selangor di Pasar Besar Klang, hari ini.

Penolong Pengarah Imigresen Selangor Jaimin Sumpit berkata, serbuan pada 7 pagi sehingga 12 tengah hari itu dilakukan berdasarkan aduan orang ramai mengenai kebanjiran warga asing di lokasi berkenaan.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan ada diantara warga asing yang cuba melarikan diri namun usaha mereka gagal.

"Seramai tujuh lelaki Bangladesh, tiga lelaki dan empat wanita Indonesia, 13 lelaki Myanmar dan dua lelaki Nepal yang berusia 15 hingga 45 tahun ditahan.

"Dalam serbuan itu juga, empat majikan yang menggaji pendatang asing turut dikeluarkan saman," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seramai 23 orang disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada pas sah, lima orang disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas manakala seorang lagi disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tinggal lebih masa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 10:21 PM