Makam Syuhada Perang Uhud antara lokasi bersejarah yang dikunjungi jemaah.
Makam Syuhada Perang Uhud antara lokasi bersejarah yang dikunjungi jemaah.
Nasharuddin Muhammad


Madinah: Jemaah haji bersyukur diberikan peluang menziarahi tempat bersejarah di sekitar Madinah dalam Program Ziarah Luar disediakan Lembaga Tabung Haji (TH).

Bagi pesara tentera dari Kampung Pelang, Grik, Perak, Yahaya Mohamed Adam, 51, dia benar-benar bersyukur mendapat peluang menziarahi lokasi bersejarah dalam sejarah Islam di Kota Suci ini.

Menurutnya, selama ini, semua lokasi berkenaan seperti Bukit Uhud, Masjid Quba dan Masjid Qiblatain hanya diketahui melalui bahan bacaan.

“Alhamdulillah melalui lawatan ini kami dapat melihat semua lokasi dan binaan bersejarah itu.

“Selain itu, penerangan yang cukup jelas dengan fakta tepat disampaikan muzawir terdiri daripada pelajar Malaysia di Madinah ini menambah lagi kesyukuran kami,” katanya, semalam.

Bagi Abdul Ghazi Che Wan, 67, dia juga bersyukur dapat melawat semua lokasi bersejarah itu yang mempunyai hubung kait dengan sejarah perjuangan dan kehidupan Rasulullah.

“Saya bersyukur kerana ini kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci dan bertambah gembira dapat datang bersama sembilan ahli keluarga lain,” katanya yang juga abang kepada Yahaya.

Menurutnya, selain dapat berangkat sama untuk menunaikan ibadat haji, dia dan saudaranya yang lain kebetulan ditempatkan di hotel sama.

“Ini memudahkan saya berulang-alik ke masjid beribadat serta ziarah bersama,” katanya yang terpilih menunaikan Rukun Islam kelima itu bersama isteri.

Sementara itu, Ketua Muzawir Mohd Fakhruddin Parazi, 26, berkata, dia bersama 70 rakan lain dipilih TH untuk membantu memberikan penerangan kepada jemaah haji pada Program Ziarah.

Menurutnya, jemaah haji sebaiknya perlu memanfaatkan program ziarah luar disediakan TH untuk merasai pengalaman berada dan melihat lokasi terkenal dalam Sejarah Islam.

“Ia selaras hadis Nabi yang bermaksud Madinah ini baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya,” kata pelajar tahun tiga Fakulti Hadis dan Pengajian Islam Universiti Islam Madinah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 6:00 AM