Penerima Anugerah Projek Terbaik, Mohamad Saiful (tengah) diraikan pada Majlis Konvokesyen Ke-38 POLISAS di Bukit Gambang.
REKAAN kerusi yang direka Mohamad Saiful.
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: “Saya ingin buktikan kepada semua pihak, penuntut politeknik mempunyai kelebihan dari segi kemahiran hingga layak mendapat pengiktirafan daripada syarikat swasta bertaraf antarabangsa.

“Rekaan tempat duduk dalam Mass Rapid Transit (MRT) yang saya hasilkan seharusnya menjadi kebanggaan terutama kepada penuntut di 36 politeknik di negara ini,” kata Mohamad Saiful Anuar Zamri, 25.

Penerima Anugerah Projek Terbaik sempena Majlis Konvokesyen Ke-38 Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) di Bukit Gambang Resort berkata, kejayaan menjulang kejuaraan pada pertandingan KVMRT Bench Design Competition Project suatu yang membanggakan.

Menurutnya, hanya dalam masa sebulan dia berjaya menghasilkan rekaan untuk pertandingan itu sebagai percubaan pertama selepas menimba ilmu tiga tahun di Jabatan Kejuruteraan Awam dalam bidang diploma seni bina di Polisas.

“Saya bersyukur dengan kejayaan ini yang menjulang nama penuntut politeknik, seterusnya meletakkan imej Polisas sebaris dengan pusat pengajian tinggi bertaraf universiti di negara ini yang sebelum ini dilihat lebih menyerlah.

“Kejayaan saya diharap dapat membuka mata semua pihak supaya mengiktiraf pelajar lepasan politeknik yang mempunyai kemahiran menjalankan tugas dengan baik dalam bidang yang di pelajari,” katanya.

Majlis Konvokesyen Ke-38 POLISAS dirasmikan Pegawai Memerintah Rejimen 505 Askar Wataniah Leftenan Kolonel Tengku Datuk Seri Kamarulzaman Al Haj Sultan Abu Bakar.

Hadir sama, Pengarah Polisas Norlida Abd Razak.

Seramai 1,762 graduan daripada Jabatan Kejuruteraan Awam (482), Jabatan Kejuruteraan Elektrik (221), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (302), Jabatan Perdagangan (544) dan Jabatan Teknologi Makanan (213) menerima diploma masing-masing pada program dua hari itu.

Pada majlis itu, tiga pelajar menerima biasiswa pendidikan RM300,000 daripada PKT Logistics Group Sdn Bhd.

Mohamad Saiful Anuar yang berasal dari Temerloh berkata, kejayaan pada pertandingan itu melayakkannya menerima hadiah wang tunai RM7,000.

Sementara itu, pelajar diploma ukur tanah M Gobinat, 22 menerima Anugerah Pengarah Politeknik Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum POLISAS untuk membawa pulang piala pusingan, sijil dan wang tunai daripada Yayasan Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 6:06 AM