KEBAKARAN yang memusnahkan rumah penduduk di Kampung Panji, Semporna.
KEBAKARAN yang memusnahkan rumah penduduk di Kampung Panji, Semporna.
Nasrawati Syarifuddin


TUJUH keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah didiami di Kampung Panji, Semporna musnah dalam kebakaran, petang tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 5.20 petang, tiada kemalangan jiwa dilaporkan selepas penghuni rumah di perkampungan atas air itu sempat keluar menyelamatkan diri.

Jurucakap bomba ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu pada jam 5.21 petang.

Katanya, susulan itu, dua jentera bomba dikejarkan ke lokasi untuk memadamkan kebakaran.

"Sebaik tiba, anggota bomba terus melakukan operasi memadam kebakaran sebelum api berjaya dikawal pada jam 6 petang.

"Untuk sementara waktu, semua mangsa kebakaran dipindahkan ke Dewan Bangau-Bangau, Semporna," katanya.

Menurutnya, kebakaran memusnahkan tujuh rumah di kampung itu.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 10:47 PM