JEMAAH beratur untuk mengambil sim STC bagi kegunaan di Makkah.
Nasharuddin Muhammad

Bagi memberi kemudahan kepada jemaah untuk berhubung dengan ahli keluarga dan waris di tanah air, Lembaga Tabung Haji (TH) menjalinkan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi Saudi Telecommunications Company (STC).

Melalui kerjasama itu, syarikat berkenaan akan menyediakan perkhidmatan kad SIM prabayar kepada jemaah.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) Musim Haji 1438 Hijrah Nurinn Anuwar Shamsuddin berkata, proses pembelian dan pendaftaran kad SIM prabayar berbeza bagi setiap syarikat telekomunikasi yang ada di Kota Suci ini.

“Banyak syarikat telekomunikasi ini menyediakan kios bergerak masing-masing berdekatan dengan semua hotel dan bangunan penginapan jemaah Malaysia di Madinah dan Makkah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, melalui kerjasama dengan STC, proses membeli kad SIM prabayar lebih mudah, sekali gus mendaftar nombor telefon bimbit masing-masing.

“Jemaah hanya perlu membawa dan menunjukkan Lencana Pengenalan Haji (LPH) untuk mendaftar bagi mendapatkan nombor talian STC di kios disediakan,” katanya.

Menurutnya, bagi memudahkan jemaah, nombor pasport mereka sudah sedia tercatat pada LPH yang akan digunakan untuk proses pendaftaran.

Katanya, petugas STC akan membantu jemaah untuk memasukkan kad SIM prabayar ke telefon bimbit mereka untuk mengaktifkan kad berkenaan.

“Sebaik pengaktifan dibuat, jemaah boleh menggunakan telefon bimbit mereka untuk menghubungi ahli keluarga di tanah air,” katanya.

Sementara itu, Telekom Malaysia Berhad (TM) menyediakan perkhidmatan i-Talk yang membolehkan jemaah membuat panggilan ke tanah air dengan kadar berpatutan di Pusat Perkhidmatan setiap zon di hotel dan maktab penginapan mereka di Madinah dan Makkah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 6:27 AM