MANGSA meninggal dunia akibat parah di kepala. Foto Ihsan polis
Nasrawati Syarifuddin


REMAJA lelaki berusia 18 tahun meninggal dunia selepas basikal dikayuhnya bergesel dengan traktor membawa anak pokok kelapa sawit di Kampung Blok 31, dekat Tawau, hari ini, sebelum dia digilis jentera berkenaan.

Pada kejadian jam 7 pagi, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya dan dipercayai berasal dari Batu 17, Jalan Apas, Tawau, meninggal dunia di lokasi akibat parah selepas kepalanya digilis tayar belakang traktor terbabit.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, ketika kejadian, pemandu traktor dipercayai cuba mengelak kereta di laluan bertentangan.

“Pemandu itu tidak sedar remaja terbabit mengayuh basikal di belakang traktor terbabit.

“Akibatnya, tayar belakang traktor bergesel dengan basikal mangsa menyebabkannya terjatuh sebelum digilis,” katanya ketika dihubungi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 8:24 PM