MANGSA dibawa turun daripada Gunung Pulai. FOTO Safuri Kamar
Safuri Kamarudin


SEORANG penuntut Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah cedera di buku lali kaki kiri selepas tergelincir semasa menuruni Gunung Pulai, Baling hari ini.

Mangsa, Amirul Iman Husni, 20, dari Pulau Pinang dibawa turun jam 9 malam oleh pasukan penyelamat dan dihantar ke Hospital Baling (HB) dengan ambulans Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Difahamkan, mangsa mendaki gunung bersama lima rakan, jam 6 pagi sebelum terjatuh ketika turun di ketinggian 400 meter.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Baling Penolong Penguasa Mohd Sufian Alias berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.41 pagi dan tiba ke lokasi 10 minit kemudian.

“Kami mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk membawa mangsa turun kerana fizikalnya besar selain kedudukan geografi gunung yang curam dan berbatu menyukarkan pergerakan.

“Mangsa sebelum itu diberi rawatan awal di puncak gunung oleh anggota bomba. Mereka yang tidak arif dengan pendakian Gunung Pulai perlu peka dan memaklumkan terlebih dulu kepada pihak berkuasa bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Rakan mangsa, Arif Sharudin, 19, berkata, mereka berpakat untuk mendaki gunung itu sempena cuti hari ini.

Katanya, pada mulanya mereka bercadang untuk mendaki Gunung Baling tetapi mengubah fikiran sebelum mendaki Gunung Pulai.

“Kami mulakan pendakian jam 3 pagi dan tiba di puncak tiga jam kemudian. Ini julung kami kami mendaki gunung ini dan tak sangka kejadian ini menimpa Amirul Iman.

“Kami tidak terdaya membantu lalu menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Baling,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 10:32 PM