FOTO NSTP
Norhayati Nordin


"SAYA memang menjadikan pelakon jelita dan terkenal seperti Fazura sebagai idola untuk berjaya dalam kerjaya seni selama ini.

"Cuma, kalau nak samakan mutu lakonan saya dengan Fazura memang terlalu jauh kerana dia (Fazura) sudah berada pada tahap terbaik dan dalam liga tersendiri.

"Manakala, saya pula masih baru dan banyak yang perlu dipelajari termasuk kekurangan yang harus diperbaiki dalam mempersembahkan lakonan berkesan," kata pelakon Eyka Farhana, 22.

Eyka atau Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi berkata yang pasti dia sangat kagum dengan pencapaian sudah diraih idolanya, Fazura.

"Semoga saya juga akan menjadi pelakon yang berjaya seperti Fazura suatu hari nanti.

"Bagaimanapun perjalanan saya dalam karier seni masih jauh untuk memperoleh kejayaan cemerlang seperti dia," katanya.

Eyka kini makin dikenali selepas membintangi drama Bahagia Kasihmu bersama pelakon Fezrul Khan di TV3.

Tidak cerewet memilih watak, Eyka berkata dia lebih memberi perhatian untuk kerekter yang sesuai dilakonkan.

Terdahulu Eyka ditemui ketika hadir pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran syarikat pengurusan bakatnya, MindOrder baru-baru ini.

Eyka juga berkata dia sangat berterima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong kerjaya lakonannya sejak dari dulu hingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 3:41 PM