Rajab Ahad menunjukkan botol mengandungi cecair dipercayai dadah yang di sekatan jalan raya dekat Kem Semor, Gua Musang kira-kira 2 pagi, Jumaat lalu. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


KEGIATAN penyeludupan dadah jenis cecair ke Kelantan ditumpaskan, Jumaat lalu menerusi penahanan sebuah lori membawa muatan 10,656 botol cecair dipercayai bahan larangan itu dari Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, pihaknya mengesan lori berkenaan di sekatan jalan raya dekat Kem Semor, Gua Musang kira-kira 2 pagi.

Katanya, pemeriksaan ke atas lori terbabit menemui 72 kotak dengan setiap kotak mengandungi 148 botol kecil berisi cecair.

"Kita percaya cecair ini adalah dadah yang cuba diseludup ke Kota Bharu, dan nilai keseluruhannya, RM159,840.

"Ini adalah rampasan terbesar Gua Musang setakat ini dan penguatkuasaan diperketatkan susulan Gua Musang menjadi transit untuk pengedar yang menggunakan jalan Gua Musang-Kuala Krai-Kuala Lipis," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, hari ini.

Rajab Ahad berkata, setiap botol dipercayai dijual dengan harga pasaran RM15.

Susulan itu, katanya, pemandu lori berusia 32 tahun ditahan reman empat hari sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957.

Sehingga kini, 670 tangkapan membabitkan pelbagai kes dadah dibuat IPD Gua Musang berbanding tahun lalu, 556 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 4:31 PM