Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian. FOTO ihsan polis
Mohd Hasbi Sidek


SEORANG lelaki cedera parah selepas diserang dan disamun ketika berjalan sendirian di Jalan Temenggung 13/9, Seksyen 9, Bandar Mahkota Cheras, Kajang, malam tadi.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, mangsa yang berusia 47 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai kerja.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, mangsa mengalami kecederaan serius dan terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kajang.

"Siasatan awal mendapati, mangsa berjalan seorang diri sebelum didatangi seorang lelaki.

"Suspek menyerang mangsa menggunakan senjata tajam dan melarikan beg yang mengandungi barang berharga," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mengakibatkan kecederaan kepada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 4:32 PM