Antara yang dikompaun kerana merokok di kawasan Lapangan Terbang Tawau. FOTO Nasrawati Syarifuddin
Nasrawati Syarifuddin


SERAMAI 20 individu dikompaun kerana merokok di kawasan Lapangan Terbang Tawau, dalam operasi dua hari yang berakhir petang ini.

Pegawai Kesihatan Tawau Rahman Sampe berkata, operasi itu dilaksanakan hasil aduan orang awam kerana ramai yang merokok di sekitar lapangan terbang berkenaan.

"Individu terbabit tidak mengendahkan tanda larangan merokok di Lapangan Terbang Tawau terutama pada hari Sabtu dan Ahad.

"Bagi mengelak daripada tindakan mahkamah, semua individu yang diberi notis perlu hadir ke pejabat Kesihatan Tawau untuk membayar kompaun sebanyak RM250 mengikut tempoh yang diberikan dalam notis berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, seluruh kawasan lapangan terbang digazetkan sebagai kawasan larangan merokok mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

"Operasi itu dilaksanakan secara berjadual dan akan berterusan bukan sahaja di lapangan terbang tetapi di kawasanyang digazetkan sebagai kawasan larangan merokok.

"Antara kawasan larangan merokok iaitu hospital, stesen pengangkutan awam premis kerajaan dan lain-lain.

"Mana-mana perokok yang didapati bersalah merokok di zon larangan merokok, hukuman akan dikenakan mengikut Peraturan 11(1)(g) Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 5:31 PM