Kemalangan mengorbankan pembonceng wanita di Kilometer 156 Jalan Kuala Terengganu di Kampung Geliga, Chukai semalam. FOTO Shamsudin Husin
Shamsudin Husin
am@hmetro.com.my


PEMBONCENG wanita maut manakala adiknya cedera selepas motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 156 Jalan Kuala Terengganu di Kampung Geliga, Chukai semalam.

Dalam kejadian 8 malam, Cheng Ngiat Hua, 58, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala adik lelakinya, Cheng Boon Phin, 43, cedera di tangan.

Kejadian berhampiran Jambatan Geliga itu dipercayai berlaku apabila motosikal Honda EX5 ditunggang Boon Phin hilang kawalan dan terbabas menyebabkan kakaknya yang memboceng tercampak di atas jalan.

Dua beradik dari Kampung Fikri itu dikatakan dalam perjalanan ke arah bandar Chukai.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata,

mayat Ngiat Hua dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses dibedah siasat.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 1:48 AM