AZURA (lima dari kanan) bersama Meriam (lima dari kiri), Zurinah (empat dari kanan) dan Wan Najib (empat dari kiri) dan penaja PROVIM 2017 di Red Carpet @i-city 2.
Nur Izzati Izzah Nadzi


Shah Alam: Peserta paling kreatif menghasilkan video pendek dalam Projek Video Malaysia (PROVIM) 2017 sempena sambutan Hari Kebangsaan berpeluang memenangi sebuah kereta Proton Saga 1.3 CVT dan wang tunai RM5,000.

PROVIM kali kedua anjuran Unit Berita Digital, Divisyen Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB) itu adalah untuk memupuk semangat patriotisme dan perpaduan kaum di negara ini.

Pengarang Eksekutif, Unit Berita Digital, Divisyen Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Azura Zainal Ratin berkata, tiada ketetapan syarat diberikan tetapi peserta perlu menghasilkan video kreatif dan menarik.

“Penyertaan ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat kecuali kakitangan MPB bagi menghasilkan video pendek berdurasi maksimum tiga minit.

“Peserta hanya perlu menghantar video kreatif dan menarik bertemakan Negaraku ke e-mel [email protected] dalam format MP4.

“Semua penyertaan boleh dihantar bersama sinopsis video mulai 1 hingga 31 Ogos ini dan 11 pemenang akan diumumkan pada 16 September menerusi laman Facebook dan berita rangkaian televisyen MPB,” katanya di sini semalam.

Hadir sama termasuk penaja, Pengerusi Eksekutif I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong, Naib Pengerusi Operasi dan Kawalselia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Meriam Mat Noor, Pengurus Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Zurinah Sarwan serta Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam, DNC Asiatics Holding Sdn Bhd, Wan Najib Wan Daud.

Sementara itu, Azura berkata, 10 video terbaik akan dimuat naik ke Facebook berita rangkaian MPB terdiri daripada Buletin TV3, NTV7 7Edition, Berita TV9, NTV7 Mandarin News dan 8TV Mandarin News selepas 31 Ogos ini.

“Video akan diadili panel juri profesional manakala bagi kategori Video Popular diadili berdasarkan jumlah ‘like’ tertinggi di Facebook,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah perlu mendapat kebenaran ibu bapa.

Dalam pada itu, i-City menawarkan 11 hadiah menarik untuk pemenang antaranya naib juara akan menerima dua tiket Pelayaran Islamik ke Pulau Pinang, Krabi dan Phuket serta wang tunai RM3,000 manakala pemenang tempat ketiga membawa pulang sebuah motosikal Demak serta wang tunai RM2,000 manakala video popular akan menerima RM1,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 7:57 AM