Mohd Syawaldi dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana mengedar heroin seberat 34.09 gram, dua tahun lalu. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini selepas didapati bersalah mengedar heroin seberat 34.09 gram, dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz selepas tertuduh, Mohd Syawaldi Mamad, 26, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 34.09 gram di sebuah rumah di Kampung Pak Pa, Kuala Terengganu, pada 6.30 petang, 3 Jun 2015.

Selain itu, tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 12 (2) akta sama kerana memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 27.84 gram dan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di alamat, waktu dan tarikh sama.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Zainuddin Wan Musa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 12:12 PM