ZAHARUDIN (dua dari kiri) menunjukkan barangan dirampas daripada penjenayah. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin
am@hmetro.com.my

POLIS Muar menumpaskan kegiatan samun berkumpulan hasil penahanan enam warga tempatan dan seorang warga Indonesia yang terbabit dengan jenayah terbabit sejak dua bulan lalu di sekitar Muar dan Tangkak.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Zaharudin Sarip berkata, kumpulan jenayah terbabit yang ditumpaskan Rabu lalu mensasarkan warga asing sebagai mangsa.

“Suspek mengekori warga asing yang baru selesai melakukan transaksi di bank di bandar Muar.

“Kumpulan terbabit yang bersenjatakan tukul besi kemudiannya mengepung kenderaan mangsa sebelum menuduh kenderaan dipandu mangsa melanggar kereta dinaiki dua rakan mereka,” katanya.

Menurut Zaharudin, penahanan ketujuh-tujuh suspek membantu menyelesaikan lima kes samun warga asing di rumah kongsi di sekitar Muar dan Tangkak yang dilaporkan sebelum ini.

“Ketujuh-tujuh suspek direman hingga 5 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 6:33 PM