PERODUA Kancil musnah selepas disambar api yang membakar relau pembakaran kayu. FOTO Ihsan bomba.
Aizat Sharif


PERODUA Kancil yang di parkir di tepi sebuah kilang kayu di Guar Napai, Hosba, Jitra musnah selepas dijilat api pada kebakaran membabitkan relau pembakaran kayu di kilang berkenaan, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, kebakaran berlaku jam 10.50 pagi apabila pekerja kilang berkenaan mendapati api pada relau pembakaran kayu tiba-tiba marak tanpa kawalan.

“Api itu kemudiannya menyambar Perodua Kancil terbabit menyebabkannya terbakar.

“Seramai 10 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kebakaran, jam 10.53 pagi,” katanya pada kenyataan.

Menurut beliau, pihaknya yang tiba 10 minit kemudian mendapati Perodua Kancil berkenaan sudah musnah terbakar.

“Relau itu pula hanya musnah kira-kira 20 peratus saja. Kebakaran tidak membabitkan struktur kilang kayu itu.

“Api dipadamkan sepenuhnya jam 12.30 tengah hari. Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 7:27 PM