ZULKIFLI (empat dari kiri) menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas. FOTO Mohd Husni Mohd Noor
ZULKIFLI (empat dari kiri) menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas. FOTO Mohd Husni Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dengan nilai cukai RM1.08 juta, 28 Julai lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Zulkifli Yahya berkata, pihaknya turut menahan tiga lelaki warga tempatan berusia 38 tahun hingga 49 tahun bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, pada hari kejadian, pihaknya menahan lori yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur 49 tahun di depan Pos Malaysia International Bhd setelah membuat pengikraran dengan pihak kastam di Bahagian Pemeriksaan Kargo Import.

“Ketika pemeriksaan, kami menemui 2.1 juta batang rokok bernilai RM171,600 dalam lori itu sebelum menahan lelaki terbabit.

“Susulan itu, dua lagi suspek berusia 38 tahun dan 43 tahun ditahan pada hari sama,” katanya pada sidang media, hari ini.

Katanya, rokok berkenaan tiba melalui penerbangan kargo AirAsia dari Phnom Penh, Kemboja ke Kuala Lumpur dan diikrarkan sebagai pelbagai jenis barangan dan alamat yang digunakan juga adalah palsu.

Zulkifli berkata, ketiga-tiga suspek direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Sepang untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 134(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barangan larangan.

“Sabit kesalahan boleh didenda minimum tidak kurang daripada sepuluh kali ganda atau maksimum dua puluh kali ganda daripada nilai barangan yang disita atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 9:11 PM