Nor Hadila membawa jenazah anaknya Muhammad Adam keluar dari bilik forensik HTJ Seremban. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim


SUAMI isteri yang kematian tiga anak akibat menghidap penyakit masalah jantung tidak stabil, terpaksa menerima ketentuan Ilahi apabila anak bongsunya meninggal dunia akibat penyakit sama, petang ini.

Nor Hadila Abu Hassan, 24, dan suaminya, Mohd Shawal Asmadi, 31, kehilangan Muhammad Adam Firdaus yang berusia setahun, di Unit Jagaan Rapi Kanak-kanak (PICU) Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban.

Muhammad Adam menghembuskan nafas terakhir jam 5.03 petang, selepas lima hari tidak sedarkan diri.

Sebelum ini, tiga anak mereka, Nur A'in Shuhada meninggal dunia ketika berusia lima tahun pada 2015; Nur A'in Syazlin ketika berusia enam bulan (2012) dan Muhammad Syazlan ketika berusia setahun (2014).

Bapa saudara kanak-kanak itu, Mohd Shahrul Hisham Asmadi, 31, berkata, abang dan kakak iparnya reda dengan pemergian Muhammad Adam.

"Doktor sudah memaklumkan keadaan Muhammad Adam semakin merosot dengan otaknya sudah mati dan beberapa organ dalaman juga gagal berfungsi yang memungkinkan dia tidak dapat bertahan lagi.

"Kami sekeluarga terutama abang dan kakak ipar saya sudah bersedia. Apabila saya dihubungi memberitahu Muhammad Adam meninggal dunia, saya segera datang untuk membantu menguruskan jenazah," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HTJ.

Katanya, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 3, Mambau, pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 9:55 PM