Azahar Hashim
am@hmetro.com.my


PENGASUH kepada bayi perempuan berusia 15 bulan yang meninggal dunia dipercayai terjatuh ketika menunggang motosikal mainan di rumahnya di Padang Serai, Kulim, direman tiga hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, wanita berusia 25 tahun itu ditahan semalam dan mendapat perintah tahanan reman selama tiga hari.

Menurutnya, punca kematian masih belum diketahui dan menunggu laporan bedah siasat untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan bayi perempuan berusia 15 bulan meninggal dunia selepas tiga hari dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan tidak sedarkan diri sejak Jumaat lalu.

Mangsa, Haifa Afrina Mohd Nasri disahkan meninggal dunia 3.40 petang kelmarin ketika masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB Alor Setar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 12:34 PM