Tertuduh ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman hari ini. - Foto SHAMSUDIN HUSIN
Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG pengasuh wanita dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret Kemaman, Terengganu, hari ini, kerana mendera bayi perempuan berusia tujuh bulan sehingga mengalami kecederaan fizikal termasuk buta mata kiri.

Majistret Badrul Munir Mohd Hamdy membuat keputusan itu selepas tertuduh, Asmayuzi [email protected] Wahab, 33, dari Kertih, Kemaman, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganiayai mangsa hingga menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah rumah di Taman Wan Adnan, Kertih, Kemaman, antara 7.30 pagi hingga 10.12 pagi, 27 April 2016.

Tertuduh dalam rayuannya, memohon mahkamah meringankan hukuman atas alasan sudah menyesal dan mengaku menganiaya mangsa berikutan mengalami tekanan emosi disebabkan penyakit HIV dihidapinya yang dijangkiti daripada suami, seorang penagih dadah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Zawawi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 12:37 PM