Skip this ad x
Nasharuddin Muhammad


BAGI memberi gambaran jelas mengenai perjalanan ibadat haji yang sebenar, petugas media yang membuat liputan musim haji 1438 Hijrah dibawa melawat sekitar Masya'ir Haram.

Masya'ir Haram adalah tempat bagi jemaah mengerjakan sebahagian daripada amalan haji.

Antaranya ialah Arafah yang menjadi lokasi bagi mengerjakan Wukuf pada 9 Zulhijjah iaitu satu daripada enam Rukun Haji.

Wukuf di Arafah juga adalah kemuncak perjalanan kerohanian jemaah haji kepada Penciptanya.

Arafah adalah sebuah hamparan padang pasir seluas kira-kira 10.4 kilometer persegi yang terletak kira-kira 20 kilometer dari kota suci Makkah.

Arafah juga adalah tanah halal dan yang memisahkannya dengan tanah haram Makkah adalah Wadi 'Uranah, lokasi bersejarah tempat Rasulullah SAW menyampaikan Khutbah Arafah ketika mengerjakan Haji Wada' pada tahun 10 Hijrah.

Jabal Rahmah atau Bukit Rahmah yang masyhur dalam sejarah Islam apabila dipercayai menjadi lokasi pertemuan pertama Nabi Adam AS dan Hawa selepas mereka diturunkan ke bumi juga terletak di Arafah.

Selain Arafah, petugas media juga dibawa melawat sekitar Mina iaitu tanah haram yang menjadi tempat bermabit jemaah haji pada malam 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Ia dinamakan Mina kerana banyaknya darah yang mengalir daripada haiwan ternakan yang disembelih sebagai dam, korban atau sedekah.

Di Mina, petugas media ditunjukkan terowong yang akan dilalui jemaah haji untuk melakukan ritual melontar.

Terdapat tiga Jamarat yang menjadi tempat jemaah haji melontar anak batu sebagai sebahagian daripada amalan Wajib Haji iaitu Jamrah Sughra, Wusta dan Kubra.

Dalam perjalanan pulang, petugas media juga dibawa melawat deretan kandang kambing, tempat menyimpan pelbagai jenis kambing sebelum disembelih sama ada sebagai bayaran dam, korban mahupun sedekah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 2:41 PM
Gambar fail jemaah haji dari seluruh dunia melaksanakan Wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah. FOTO BERNAMA